Ramai orang tanya harga dulu, tetapi untuk beri quotation yang lebih tepat, kilang perlukan beberapa maklumat asas terlebih dahulu.
Ini bukan kerana proses mahu dilambatkan. Sebaliknya, lagi jelas maklumat yang diberi dari awal, lagi mudah untuk kilang faham apa yang anda perlukan dan lagi tepat harga yang boleh dikira. Kalau maklumat terlalu umum, harga yang diberi biasanya hanya anggaran kasar.
1. Jenis Pakaian
Perkara paling asas ialah jenis pakaian yang mahu dibuat. Harga untuk jubah, blouse, dress, baju kurung, baju Melayu atau pakaian kanak-kanak memang berbeza kerana struktur, cutting dan tahap kesukarannya tidak sama.
Sebab itu, nyatakan dengan jelas jenis pakaian yang anda mahu tempah supaya kilang boleh terus bayangkan struktur asas produk tersebut.
2. Kuantiti Tempahan
Kuantiti sangat mempengaruhi harga. Tempahan 30 helai, 100 helai dan 500 helai biasanya tidak akan dikira dengan cara yang sama kerana kos produksi, cutting dan kerja persediaan akan dibahagikan mengikut jumlah.
Kalau belum ada angka tepat, sekurang-kurangnya beri anggaran seperti 50 pcs, 100 pcs atau 300 pcs supaya quotation awal lebih realistik.
3. Jenis Kain
Jenis kain ialah salah satu faktor paling besar dalam penentuan harga. Design yang sama boleh jadi sangat berbeza kosnya hanya kerana kain yang dipilih berbeza.
Kalau anda sudah tahu kain yang mahu digunakan, nyatakan nama kain tersebut. Kalau belum pasti, boleh beri gambaran seperti mahu kain yang flowy, lembut, sejuk, lebih tegap atau mudah dijaga. Dari situ, kilang boleh bantu cadangkan pilihan yang sesuai.
4. Size Range
Saiz juga penting kerana ia memberi kesan kepada penggunaan kain dan cara grading dibuat. Tempahan dengan size range yang kecil berbeza dengan tempahan yang melibatkan banyak variasi saiz.
Contohnya, maklumat seperti XS hingga XL, atau S hingga 3XL sangat membantu untuk kilang membuat kiraan awal dengan lebih tepat.
5. Finishing dan Detail Tambahan
Finishing ialah detail yang ramai orang terlepas pandang semasa tanya harga. Padahal perkara seperti lining, zip, butang, poket, getah pinggang, cuff, piping, pleat atau sulaman boleh memberi kesan besar kepada kos dan tahap kerja.
Lagi banyak detail, lagi banyak kerja yang terlibat. Jadi kalau pakaian anda ada finishing tertentu, maklumkan dari awal supaya quotation tidak lari jauh daripada kos sebenar.
6. Label, Tag dan Packaging
Kalau anda mahu hasilkan pakaian untuk brand sendiri, maklumat tentang label, hang tag dan packaging juga perlu diberitahu. Ada pelanggan yang hanya mahu jahit pakaian sahaja, dan ada juga yang mahu produk siap dengan label jenama, tag dan pembungkusan.
Perkara ini nampak kecil, tetapi tetap mempengaruhi kos akhir dan aliran kerja produksi. Lagi awal ia dijelaskan, lagi senang semuanya dirancang.
7. Contoh Gambar atau Design Rujukan
Ini antara maklumat yang paling membantu. Bila ada gambar rujukan, sketch, sample baju atau design yang hampir sama, kilang boleh faham dengan lebih cepat apa yang anda mahukan.
Tak semestinya perlu artwork yang sangat lengkap. Kadang-kadang gambar contoh dari internet pun sudah cukup untuk memudahkan perbincangan awal, asalkan ia jelas menunjukkan gaya, potongan dan detail yang diinginkan.
Lagi Lengkap Info, Lagi Mudah Dapat Quote Yang Tepat
Kalau inquiry hanya berbunyi “nak buat baju, berapa harga?”, memang sukar untuk beri quotation yang tepat. Tetapi bila anda sertakan jenis pakaian, kuantiti, kain, size range, finishing, label dan contoh design, proses jadi jauh lebih mudah dan lebih serius.
Maklumat yang lengkap bukan sahaja membantu kilang membuat kiraan, tetapi juga membantu anda sendiri menjimatkan masa. Kalau anda belum pasti tentang kain, detail atau spesifikasi yang sesuai, itu tidak mengapa, kami boleh bantu semak dan cadangkan berdasarkan jenis pakaian dan bajet anda.
